KUALA LUMPUR, 5 Mac: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan Op Kesan mulai 1 Mac bagi memantau kesan perlaksanaan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat peniaga yang tidak terlibat dengan kenaikan SST menaikkan harga secara tidak munasabah.
“Bermula 1 Mac 2024, skop perkhidmatan cukai telah diperluaskan meliputi pusat karaoke, logistik, perkhidmatan broker antaranya kapal dan kapal terbang, komoditi dan hartanah.
“Walaupun kadar cukai dinaikkan daripada enam ke lapan peratus, perkhidmatan yang menjadi keperluan rakyat dikecualikan termasuk makanan dan minuman, telekomunikasi, parkir kenderaan dan logistik,” katanya.
Amir Hamzah menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (Pakatan Harapan – Ampang) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk pastikan rakyat tidak terbeban memandangkan pelbagai cukai progresif dicadangkan atau telah dikenakan.
Sementara itu beliau menjelaskan walaupun asas cukai negara diperluaskan, kerajaan akan terus melindungi kebajikan rakyat.
“Kita laksana reformasi cukai secara progresif supaya tidak beban majoriti rakyat.
“Keperluan asas seperti air bersih dan perkhidmtaan feri juga tidak terlibat dengan kenaikan SST,” katanya. -TVS