KUALA LUMPUR, 5 Mac: Dewan Rakyat dimaklumkan kajian sedang dilakukan bagi penetapan gaji premium untuk lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada kadar RM4,000 sebulan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini sebagai usaha untuk mengiktiraf golongan pelajar berkenaan.
Jelas beliau, perkara itu sedang ditambah baik menerusi kerangka Dasar TVET Negara yang akan dilancarkan pada 2 Jun ini.
“Menerusinya juga kerajaan wujudkan hanya sebuah pusat pengiktirafan TVET supaya tidak timbul kekeliruan membabitkan pengiktirafan,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (Perikatan Nasional -Kapar) yang ingin tahu sama ada kerajaan akan merangka akta gaji khusus untuk lepasan TVET berdasarkan kelayakan individu bagi pengiktirafan TVET setanding kelayakan akademik lain.
Dasar gaji yang lebih tinggi itu juga kata beliau akan menggalakkan lebih ramai pelajar mengikuti bidang TVET sebagai pilihan mereka.
Sementara itu Ahmad Zahid memaklumkan, program TVET juga akan dimulakan lebih awal iaitu selepas Tingkatan 3 dengan kolej vokasional dan teknikal akan menjadi pembekal kepada institusi TVET.
“Mereka (pelajar) akan dapat mengambil diploma dan ijazah dua tahun lebih awal daripada rakan-rakan lain,” tambahnya. -TVS