KUALA LUMPUR, 5 Mac: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin tampil mempertahankan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang dikritik susulan beberapa keputusan melibatkan kementeriannya baru -baru ini.
Bung Moktar berkata, orang ramai seolah-olah salah faham bahawa King Sing mempunyai tanggungjawab di kementerian yang diterajuinya.
“Dia (King Sing kena) lapor kepada kerajaan, (oleh itu) pegawai yang tidak berpotensi (perlu ditukar).
“Kalau saya jadi menteri, saya tukar 24 jam, nasib baik dia (King Sing) turunkan (pangkat) kepada Timbalan Pengarah, kalau saya yang jadi menteri, saya akan tukar (pegawai tidak berpotensi) pergi ke tempat yang tidak perlu jumpa orang,” katanya.
Bung Moktar berkata demikian ketika membentangkan Usul Junjung Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Pada bulan lepas, King Sing mengesahkan bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah.
Katanya, tindakan itu dibuat kerana kemerosotan prestasi Ammar yang tidak mencapai standard ditetapkan.
Berhubung usaha King Sing untuk mempromosikan bak kut teh sebagai makanan tradisi Malaysia yang turut menjadi kontroversi, Bung Moktar berkata, beliau turut hairan apabila perkara itu menjadi pendebatan.
“Bak kut teh ini bukan babi sahaja, (sebaliknya) ada daging, ada ayam malaj ikan pun apa, apa masalah, pasal makanan pun kita bergaduh,” katanya.
Bung Moktar seterusnya mencadangkan supaya kementerian membuat penjelasan dan promosi mengenai kategori berbeza makanan berkenaan.
“Tiada masalah kerana di Sarawak mereka sudah ada bak kut teh halal,” katanya. -TVS