KUALA LUMPUR, 5 Mac: Kementerian Ekonomi tidak menolak kemungkinan ada isi rumah yang akan membuat kemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) pada saat akhir menjelang tarikh tutupnya hujung bulan ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi berkata, setakat 25 Februari lepas, seramai 3.79 juta isi rumah sudah berbuat demikian sejak pelancarannya pada 2 Januari lepas.
Menurut Rafizi, kerajaan sudah memiliki kesemua data dan hanya mahukan isi rumah membuat kemas kini supaya tidak timbul isu di kemudian hari.
“Bila dilaksana (subsidi bersasar) tidak timbul kenapa saya tidak dapat itu dan ini sebagainya.
“Oleh itu, yang terbaik, kita (kerajaan) akan pastikan tempoh sebulan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh seberapa banyak keluarga (untuk kemaskini PADU).
“(Kerajaan juga) ambil kira beberapa situasi, contoh ada golongan yang merasakan mereka tidak layak dapat subsidi bersasar, jadi tidak mahu kemas kini, ada yang tunggu sehingga hampir 31 Mac, ada juga yang mungkin terkejar-kejar untuk kemas kini apabila kerajaaan umum bentuk – bentuk subsidi bersasar,” katanya.
Rafizi berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan R. Yuneswaran (Pakatan Harapan – Segamat) yang ingin tahu apakah langkah – langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan jumlah kemas kini maklumat menerusi PADU pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mengenai pendaftaran yang rendah, Rafizi berkata, perbandingan tidak boleh dibuat dengan jumlah 30 juta penduduk Malaysia sebaliknya perlu melihat jumlah isi rumah.
“Kita selalu lihat beberapa perseptif iaitu kita tengok berapa yang kemas kini berbanding jumlah warga negara Malaysia 30 juta, kita lihat isi rumah 7.9 juta dan dengan PADU, oleh kerana bujang dan golongan tidak berkeluarga itu juga dikira sebagai isi rumah, jumlah isi rumah dijangka akan naik kepada sembilan juta,” tambahnya. -TVS