KUALA LUMPUR, 5 Mac: Seramai 398 usahawan di Sarawak menerima manfaat pembiayaan menerusi dua inisiatif dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang berkata, dua program berkenaan melibatkan Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) dan kemudahan pinjaman Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED).
Kata beliau, SPKLB merupakan bantuan pembiayaan berbentuk geran penuh sehingga RM10,000 sebagai sokongan kepada usahawan luar bandar khasnya usahawan dalam kategori PIKO/ NANO dengan hasil jualan kurang RM200 000 setahun bagi tujuan mengukuh dan mengembangkan perniagaan.
“Sejak mula dilaksanakan pada 2019 sehingga kini, seramai 2,601 orang usahawan di seluruh negara telah menerima manfaat daripada geran bernilai lebih RM16.7 juta.
“Daripada jumlah ini, seramai 196 usahawan luar bandar Wilayah Sarawak telah menerima manfaat dengan nilai berjumlah RM1.1 juta dalam dalam bentuk bantuan pembelian mesin, peralatan, modal pusingan dan baik pulih premis perniagaan,” katanya.
Rubiah menjawab soalan Roy Angau Gingkoi (Gabungan Parti Sarawak – Lubok Antu) yang meminta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan jumlah bantuan yang telah disalurkan menerusi Program SPKLB dan Program SPED kepada usahawan di Sarawak.
Sementara itu, Rubiah memaklumkan, berdasarkan rekod jualan tahunan usahawan Sarawak yang menerima geran SPKLB pada 2022, didapati lebih daripada 62 peratus telah berjaya mencatatkan peningkatan pendapatan lebih daripada 30 peratus setahun.
“Selaras dengan itu juga, bagi 2024, sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan bagi membantu sehingga 800 usahawan luar bandar untuk mengukuhkan dan mengembangkan lagi perniagaan sedia ada bagi tujuan pemasaran yang lebih meluas,” katanya.
Bagi SPED pula, Rubiah menjelaskan ia merupakan program pembiayaan patuh syariah yang ditawarkan kepada usahawan Bumiputera luar bandar berjumlah RM20,000 sehingga RM250,000Â dalam sektor pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan pelancongan desa bagi tujuan pengembangan perniagaan.
Dewan juga dimaklumkan, sejak program itu mula dilaksanakan pada 2001, sebanyak RM270 juta telah diperuntukan bagi tujuan dana pusingan pembiayaan dan seramai 3,812 orang usahawan luar bandar telah menerima manfaat dengan melibatkan pinjaman bernilai RM387 juta dalam pelbagai sektor perniagaan.
“Bagi Sarawak, seramai 202 usahawan luar bandar telah menerima pembiayaan SPED dengan nilai berjumlah RM15.3 juta dalam pelbagai sektor yang dinyatakan seperti di atas,” katanya. -TVS