KUCHING, 5 Mac: Limbungan Roll-On/Roll-Off (RoRo) baharu di Pelabuhan Senari dijangka siap menjelang suku keempat tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu berkata, projek yang kini pada fasa 49.19 peratus siap itu akan melengkapkan Pelabuhan Kuching dengan menempatkan 2,500 kenderaan di Terminal Senari.
“Maknanya kapal yang membawa kereta dari luar akan mendarat di sini dan mereka akan memerlukan tempat parkir yang baik.
“Sekarang, ia di dalam fasa pembinaan kerana tempat parkir lama di Pending tidak dapat digunakan lagi. Sekarang ini, kita mesti memastikan pekarangan tersebut dapat disiapkan sebelum projek pembinaan Jambatan Sejingkat siap,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Dua Kren Dermaga Baharu daripada HLG Equipment SDN. BHD. kepada Lembaga Pelabuhan Kuching di Terminal Senari hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Uggah memaklumkan bahawa pemerolehan dua unit kren dermaga berkuasa elektrik baharu iaitu QC6 dan QC7 dijangka akan meningkatkan kecekapan dan kapasiti kemudahan di Lembaga Pelabuhan Kuching.
“Saya dimaklumkan bahawa daya pengeluaran kontena untuk 2023 adalah pada 274,202 teus dan diunjurkan meningkat kepada 310,000 teus tahun ini, dengan pemulihan ekonomi,” katanya.
Menurut Uggah, dengan teknologi dan keupayaan canggihnya, kren tersebut akan membolehkan pengendalian vesel dan volum kargo yang lebih besar dengan kelajuan dan ketepatan yang lebih tinggi memandangkan Pelabuhan Kuching dijangka meningkatkan produktiviti pengendalian kontenanya daripada 26 kepada 50 Pergerakan Kasar Sejam (GMPH).
“Keupayaan ini sekali gus akan meningkatkan daya saing dan daya tarikan pelabuhan kepada pembekal talian perkapalan dan logistik,” tambahnya.
Tambah Uggah lagi, pemerolehan kren dermaga berkuasa elektrik yang bernilai RM70 juta tersebut sejajar dengan visi Kerajaan Sarawak dalam mentransformasikan negeri ini ke arah ekonomi hijau.
Katanya, pelaburan dalam infrastruktur mesin dan peralatan moden yang cekap tenaga ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi tetapi juga mengurangkan jejak karbon dan meminimumkan kesan alam sekitar dalam operasi pelabuhan.
“Kita bergerak ke arah teknologi hijau yang merupakan sebahagian daripada misi kami (Kerajaan Sarawak) dalam strategi perubahan iklim seperti diamalkan oleh Premier Sarawak,” katanya. – TVS