KUCHING, 5 Mac: Satu jawatankuasa khas sedang dibentuk untuk mengkaji dasar pendidikan tinggi nasional, kata Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) itu berkata, keperluan bagi penubuhan jawatankuasa khas itu akan dilancarkan tahun hadapan dan akan diketuai oleh Ketua Setiausaha KPT, Dato Seri Ir. Dr Zaini Ujang.
“Saya telah mengarahkan ini adalah jawatankuasa, ‘working committee’ ataupun jawatankuasa kerja bagi melihat ke dalam perancangan bagi 2025 hingga 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan mesra ke Kolej Universiti i-CATs sempena program Jerayawara Kampus Madani anjuran KPT, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat II, Datuk Francis Harden Hollis serta Ketua Setiausaha KPT, Dato Seri Ir. Dr Zaini Ujang.
Mengulas lanjut Zambry berkata dalam insiatif bagi meneliti semula dasar pendidikan tinggi sedia ada, National Review Committee (NRC) telah dibentuk untuk mengemukakan cadangan untuk diteliti dalam pendidikan tinggi.
“NCR ini melibatkan keseluruhan. Tetapi yang untuk setiap 5 tahun kita ada perancangan yang kita laksanakan jadi antara lain kita akan lihat cadangan yang akan dikemukakan itu juga akan menjadi sebahagian apa yang kita hendak lakukan untuk 5 tahun akan datang,” ujarnya.
Sementara itu ditanya mengenai pendapat kerajaan pusat berkenaan hasrat Kerajaan Sarawak menawarkan pendidikan percuma kepada anak Sarawak menjelang 2026, Zambry berkata ia merupakan hak kerajaan sesebuah negeri untuk membantu rakyatnya.
“Ia adalah langkah-langkah yang dilihat kerajaan sendiri kerana seperti negeri-negeri lain (mereka) mempunyai dasar-dasar di mana mereka ingin membantu anak-anak negeri untuk melanjutkan pelajaran di mana-mana tempat sama ada di universiti atau kolej,” jelasnya. – TVS