KUCHING, 4 Mac: Perancangan menubuhkan Pejabat Konsulat Jeneral Singapura di sini masih dalam proses menunggu maklum balas Kerajaan Persekutuan dan akan dilaksana sebaik mendapat kelulusan.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon berkata, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum ini membangkitkan perkara yang sama pada Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10 yang berlangsung pada November tahun lalu.
“Sebenarnya, (hasrat) Abang Johari itu telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahin kepada Perdana Menteri Singapura.
“Perdana Menteri kami bersetuju dengan idea pembukaan sebuah konsulat Singapura di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Tambahnya, pejabat konsulat yang sama juga dalam perancangan untuk ditubuhkan di Kota Kinabalu.
Sebelum ini, Abang Johari memaklumkan penubuhan pejabat tersebut secara langsung akan meningkatkan perhubungan dua hala sekali gus melonjakkan ekonomi antara Sarawak dan Singapura khususnya dalam sektor pelancongan dan sektor-sektor lain. -TVS