KUCHING, 4 Mac: Kenaikan kadar cukai perkhidmatan (SST) kepada lapan peratus berbanding enam peratus sebelum ini ke atas penggunaan elektrik melebihi 600kWh atau RM220 sebulan juga turut terpakai di Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata SST yang mula dikuatkuasakan pada 1 Mac lepas terpakai di seluruh negara.
“SST terpakai di seluruh negara. Kita perlu ikut,” katanya ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Ahli-Ahli Maljis Daerah Gedong di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Oktober tahun lalu memaklumkan kerajaan bercadang menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada lapan peratus berbanding enam peratus.
Laporan media sebelum ini menyatakan kadar baharu ini tidak merangkumi perkhidmatan untuk makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta.
Ia sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawannya.
Langkah ini akan membantu kerajaan terus menjana pendapatan untuk negara.