MIRI, 2 Mac: Usahawan Sarawak digalakkan memasarkan produk mereka menembusi pasaran di Semenanjung Malaysia seperti inisiatif mereka yang datang ke negeri ini.
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri mengakui Sarawak mempunyai potensi pemasaran yang besar dan peluang tersebut perlu dicungkil.
“Saya mendapati ada beberapa usahawan dari Semenanjung yang hadir kali kedua dan ketiga di sini. Ini menunjukkan potensi pemasaran di Sarawak adalah sangat besar, hanya menunggu kita untuk cungkil peluang tersebut,”
“Bagi usahawan di Sarawak, saya berharap melalui penganjuran program ini, kalau Semenanjung boleh datang ke Sarawak dan memasarkan produk, kenapa pula usahawan dari Sarawak tidak boleh keluar ke Semenanjung untuk memasarkan produk mereka,” katanya pada Majlis Perasmian FAMA Fest@Sarawak 2024 pada Sabtu.
Menurutnya, beberapa produk makanan di Sarawak dilihat mendapat sambutan hangat dari Semenanjung seperti buah longan kristal, buah dabai, durian Sri Aman, kek lapis, ikan terubok masin dan mi kolok.
Beliau juga menggalakkan kepada usahawan Sarawak untuk menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) akan datang supaya mereka dapat didedahkan kepada pembeli berpotensi dari seluruh dunia.
Dalam pada itu, sasaran jualan FAMA Fest@Sarawak pada tahun ini ialah RM500,000 dengan kehadiran 25,000 pengunjung sepanjang program yang bermula 1 sehingga 4 Mac.
Sementara itu, Abdul Rashid optimis pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan kelak merupakan potensi peningkatan produk eksport Sarawak ke Republik tersebut.
“Untuk di Indonesia, kita melihat potensi yang sangat besar selepas ini apabila ibu negara Indonesia berpindah ke Kalimantan yang akan dinamakan Nusantara.
“Saya rasa kita akan bekerjasama selepas ini. Kita mencari rakan strategi baru supaya kita boleh mendapatkan faedah dari pemindahan ibu negara Indonesia tersebut.
“Kita menjangkakan akan banyak eksport ke Sarawak. Tapi kita kena ubah, Sarawak kena mengeksport banyak ke Indonesia selepas ini. Saya rasa itu boleh dicapai,” ujarnya.
Selain Indonesia, Abdul Rashid juga mensasarkan untuk meningkatkan produk eksport Sarawak ke negara Brunei Darussalam kerana lokasinya yang lebih dekat serta terdapat sambutan dan permintaan dari negara jiran tersebut. -TVS