KUCHING, 2 Mac: Jabatan Penjara Malaysia optimis melaksanakan pelbagai program koreksional bagi membantu pembangunan bekas penghuni penjara dalam proses pemulihan bersama masyarakat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata program koreksional berkenaan merangkumi pendidikan, pembangunan kemahiran dan sahsiah diri.
“Kita memberikan penekanan untuk program koreksional iaitu ketika penghuni penjara yang kita istilahkan sebagai prospek ini berada di penjara agar mereka memiliki peluang kedua.
“Misalnya, kalau mereka hendak belajar kita akan bantu mereka untuk belajar. Kalau mereka hendak bina kemahiran latihan, kita akan sediakan.
“Begitu juga kalau mereka hendak membina sahsiah dan peribadi diri, kita akan sediakan aktiviti-aktiviti keagamaan. Jadi ini lah kekuatan dan kelebihan Jabatan Penjara sesuai dengan usianya yang melebihi dua abad (234),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara ke-234 di Penjara Puncak Borneo, pada Sabtu.
Menurutnya pendekatan yang diambil ialah bersifat kemanusiaan dan empat indikator yang dicapai Sarawak menunjukkan kecemerlangan dalam aspek mengurangkan kesesakan penjara.
“Jabatan Penjara komited membantu memberikan peluang kedua melalui program seperti yang saya nyatakan tadi,” katanya.
Tambah beliau, setakat ini sebayak 82,005 penghuni penjara di seluruh negara sementara Penjara di Pangkalan Chepa merupakan penjara paling sesak. -TVS