MIRI, 2 Mac: Potensi bubuk atau udang geragau untuk dijadikan produk tarikan pelancong ke Miri tidak disangkal lagi, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak berkata hasil laut tempatan itu boleh dijadikan produk hiliran seperti mana keistimewaan bubuk itu telah ditonjolkan pada Pesta Bubuk Miri 2024 kali ini.
Menurut Abdul Karim, pesta memasuki edisi keempat itu merupakan sebahagian daripada inti pati Program Pelancongan Melawat Miri selari dengan hasrat Kerajaan Sarawak yang mensasarkan kemasukan empat juta pelancong pada tahun ini.
“Pada bulan Januari tahun ini, kita menerima kedatangan lebih 392,000 pelancong, berbanding hanya 219,000 jumlah pelancong dalam tempoh yang sama pada tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri MTCP, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pada Pesta Bubuk Miri 2024 di Tamu Pasar Batu 1, Lutong di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar Pesta Bubuk Miri diadakan dengan skala yang lebih besar, bukan sahaja untuk industri pelancongan, malah menjana sosioekonomi penduduk setempat di kawasan Kampung Batu 1 serta sekitarnya. -TVS