Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof merasmikan Sambutan Hari Penjara Ke-234 di Penjara Puncak Borneo. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Kaji Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) laksana ‘Home Detention’ tahun ini

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 2 Mac: Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) secara ‘Home Detention’ (Tahanan Rumah) dirancang untuk dilaksanakan pada tahun ini, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menteri Dalam Negeri itu berkata kajian bagi meneliti berhubung perkara itu sudah pun dimulakan dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi telah dipertanggungjawabkan mengendalikan perkara tersebut.

“Saya juga meletakkan satu ‘timeline’ iaitu ia mesti pada kadar keutamaan, yang perlu disegerakan. Kita tidak boleh ketepikan peruntukan undang-undang, apakah memadai dengan meminda undang-undang sedia ada ataupun ada keperluan untuk menggubal undang-undang baru, atau memadai dengan semak peraturan-peraturan penjara yang mungkin memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Penjara atau ada tak undang-undang yang memberikan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri.

“Itu tugas KSU untuk semak dan kemudian memberi maklum balas kepada saya,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara ke-234 di Penjara Puncak Borneo di sini hari ini.

Beliau yakin dengan pelaksanaan inisiatif tersebut, ia akan menyumbang kepada beberapa perkara iaitu pengurangan kesesakan penjara dan penjimatan kos serta kadar residivisme yang rendah.

“Rekod menunjukkan tiga inisiatif yang sekarang – Parol, Perintah Kehadiran Wajib, Pembebasan Berlesen, 800 (banduan) bebas, satu saja masuk balik. Jadi apa kesimpulan dia? Sangat sangat berjaya.

“Jadi kalau kita tambah satu lagi (inisiatif) iaitu home detention, lebih ramai (banduan) kita dapat bebaskan, lebih jimat dari segi kewangan kerajaan dan lebih membantu lagi memulihkan mereka untuk berada di luar, dalam masyarakat,” ujarnya lanjut.

Untuk rekod, Penjara Sarawak mencatatkan kadar kesesakan penjara yang paling rendah iaitu -13.2 peratus berbanding 20 peratus yang ditetapkan pada standard antarabangsa.

Ia merupakan satu pencapaian yang signifikan serta menunjukkan usaha dalam meningkatkan pengurusan dan kecekapan dalam sistem penjara.

PBSL secara ‘Home Detention’ (Tahanan Rumah) adalah inisiatif yang dijalankan kepada prospek dengan hukuman empat tahun dan ke bawah, terdiri daripada kategori prospek berpenyakit kronik, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan