Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Objektif utama Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 adalah untuk meningkatkan dan menambah baik perlindungan dan kebajikan golongan pekerja di negara ini serta memastikan peruntukan undang-undang perburuhan di negara ini selari dengan standard antarabangsa yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa. Foto hiasan Envato

Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 lindungi kebajikan pekerja, jika ditindas dapatkan pandangan pakar

ByMuqri Aziz

OBJEKTIF utama Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 bertujuan bagi meningkatkan dan menambah baik perlindungan dan kebajikan golongan pekerja serta memastikan peruntukan undang-undang perburuhan di negara ini selari dengan standard antarabangsa yang digariskan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Pindaan itu juga selari dengan dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa berkaitan Discrimination (Employment and Occupation) Convention 1958 (No. 111) dan melalui peruntukan baharu ini, Ketua Pengarah JTKSM mempunyai kuasa untuk menyiasat dan memutuskan sebarang pertikaian antara pekerja dan majikannya berhubung dengan sebarang perkara berkaitan diskriminasi dalam pekerjaan.

Namun, jika pelaksanaan serta pemantauan tidak dilakukan dengan baik, kesan jangka panjang boleh berlaku membabitkan pekerja termasuk majikan serta pembangunan ekonomi negara.

Wajarkah gubal undang-undang lebih khusus cegah diskriminasi di tempat kerja?

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia dan Kaunselor Berdaftar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Samsiah Jayos, ia juga berpotensi menjurus kepada kemurungan akibat penindasan yang ketara.

“Memang diskriminasi ini kalau ia berterusan, ia memberi kesan buruk masa panjang individu itu antaranya dari segi kesejahteraan emosi dia terganggu, tidak ada keceriaan dalam hidup dia, tertekan dan akhirnya membawa kepada kemurungan sehingga kepada mencederakan diri sendiri.

“Pada masa sama, produktiviti dan kualiti kerja pada individu itu juga akan terjejas dan secara tidak langsung akan membawa kerugian pada majikan serta negara kerana tidak dapat mencurahkan potensi mereka,” katanya.

Justeru, majikan disaran menubuhkan sebuah unit bimbingan dan kaunseling yang bertauliah bagi memberi bimbingan serta mencari penyelesaian terbaik menghadapi sesuatu isu.

Perkara itu dicadangkan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Dayang Nailul Munna Abg Abdullah dengan mewujudkan Program Bantuan Pekerja (EAP).

“Apa yang dimaksudkan dengan program ini adalah ia akan menyediakan khidmat kaunseling ataupun sumber bagi membantu pekerja yang mungkin menghadapi masalah ataupun mengalami diskriminasi di tempat kerja,” tambahnya yang turut berkata bahawa program sedemikian tidak banyak diwujudkan dalam mana-mana organisasi di Malaysia.

Bukan itu sahaja, Dr Samsiah berkata pendekatan terbaik ialah meluahkan segala permasalahan kepada mana-mana individu yang boleh dipercayai.

Beliau mengesyorkan individu terlibat agar mendapatkan sokongan daripada rakan-rakan luar daripada tempat kerja, sahabat baik mahupun ahli keluarga yang boleh dipercayai.

“Kalau individu itu berani dan kental, dia boleh buat laporan awal dan laporkannya kepada pihak atasan dengan mengikut prosedur yang ditetapkan. Pada masa sama, ketahuilah hak pekerja.

“Saya akui kita tiada akta atau undang-undang khusus seperti Akta Hak Sivil 1964 yang ada di Amerika Syarikat. Jika kita tidak fasih dengan undang-undang yang ada yang mungkin boleh melindungi mereka, berundinglah dengan pakar undang-undang,” katanya lagi.

Secara kesimpulannya, dengan menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi di tempat kerja, setiap pekerja akan memperoleh persekitaran tempat kerja yang aman serta harmoni.

Ia dapat meningkatkan mutu kerja dan menguntungkan semua pihak dan secara tidak langsung memantapkan pembangunan ekonomi negara. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan