KAJIAN yang dijalankan Persatuan Pendidikan Diversiti (AOD) mengenai Keadaan Diskriminasi Malaysia 2023 mendedahkan sebanyak 62 peratus responden mengalami diskriminasi di tempat kerja.
Lebih 55 peratus responden pula memilih untuk tidak melaporkannya atas faktor kekurangan bukti selain halangan dari segi masa atau wang.
Rata-rata ahli akademik atau pemain industri berpendapat Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2023 tidak inklusif dan menyeluruh kerana hanya menggariskan diskriminasi dalam pekerjaan dari segi terma-terma pekerjaan atas faktor bangsa, agama, jantina atau fahaman politik.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Dayang Nailul Munna Abg Abdullah berkata industri banyak berlakunya isu berkenaan adalah industri melibatkan tenaga kerja pengkhususan.
“Saya berpandangan sektor atau industri yang berkemungkinan mengalami diskriminasi ialah industri pembinaan, perkhidmatan seperti hotel, restoran, peruncitan dan sektor pendidikan serta sektor kesihatan kerana ia melibatkan faktor syarat pekerjaan, keadilan gaji serta kurangnya perlindungan pekerja dan juga diskriminasi dalam bentuk etnik atau jantina yang sering sahaja berlaku,” menurutnya sambil menambah industri hiburan juga turut berlakunya sebarang bentuk diskriminasi.
Bekas Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar sebelum ini berkata walaupun mengakui banyak cadangan untuk memperkenalkan akta baharu berkaitan dengan anti-diskriminasi namun ia bukanlah satu keperluan yang mendesak kerana kes diskriminasi di negara ini dilaporkan sangat sedikit, terutamanya terhadap Orang Kurang Upaya (OKU).
Tegasnya, beliau mahu akta-akta sedia ada itu perlu dilaksanakan dengan pemantauan serta penguatkuasaan secara berkala dan tidak hanya sebagai satu garis panduan sahaja.
“Isu diskriminasi di tempat kerja ini sebenarnya memerlukan satu pendekatan yang lebih terperinci dan spesifik seperti menggubal suatu undang-undang khusus berkaitan dengan anti-diskriminasi dengan mengambil kira realiti masyarakat majmuk di negara ini.
“Banyak perkara perlu dipertimbangkan termasuk mewujudkan satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada pelbagai entiti bagi mengatasi perkara berkenaan,” katanya lagi dengan mengambil pandangan terutamanya oleh pengamal sumber manusia, wakil pekerja, wakil majikan serta pemain industri dalam dan luar industri berkenaan.
Dayang Nailul juga mengakui bahawa berbagai bantahan mengenai penggubalan sebuah akta baharu terutamanya dari aspek ekonomi yang perlu menumpukan kepada pembangunan ekonomi negara yang semakin meruncing dan berkemungkinan besar undang itu akan memberi tekanan tambahan kepada sesebuah perniagaan.
“Lambat laun, ada keperluan untuk Malaysia menggubal undang-undang tersebut dan undang-undang itu pula perlu digubal dengan mengambil contoh daripada negara-negara luar seperti Australia yang sudah mempunyai Equality Act dan Equal Opportunity Act yang mana kita tidak mempunyai akta berkenaan sehingga kini,” tambahnya lagi Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah jelas menggariskan hak kesamarataan bagi mengelakkan berlakunya diskriminasi dan ketidakadilan kepada rakyat Malaysia seterusnya dapat menegakkan hak asasi manusia.
Oleh yang demikian, beliau yakin jika undang-undang anti-diskriminasi dapat diperkenalkan dan dilaksanakan di negara ini mampu menjamin keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa.
Pada masa sama, undang-undang itu juga melangkaui faktor bangsa, agama, jantina atau fahaman politik serta memberi isyarat yang jelas kepada majikan di Malaysia bahawa isu diskriminasi ini tidak boleh dipandang enteng dan penyelesaian serta siasatan diambil dengan lebih serius, cekap dan menyeluruh. – TVS