KUCHING, 1 Mac: Penjaga gol berpengalaman Liga Malaysia Shahril Sa’ari sah kembali ke Sarawak untuk memperkuatkan kubu Kuching City FC menjelang saingan Liga Super pada musim baharu.
Perkara tersebut dikongsikan Kuching City FC menerusi Facebook rasminya selepas penjaga gol asal Terengganu itu menandatangani kontrak bersama skuad ‘The Cats’.
Shahril, 33, pernah beraksi dengan beberapa pasukan di pentas tertinggi Liga Malaysia antaranya Sarawak FA, Kedah FC dan PDRM FC.
Terdahulu, skuad yang mewakili Sarawak itu juga telah mengumumkan beberapa pemain baharu bagi menggalas tanggungjawab untuk memperkuatkan lagi jentera pasukan ‘The Cats’.
Antaranya pemain tengah kelahiran Kota Bharu, Muhammad Hariz Mansor serta lima pemain tempatan Sarawak yang telah berjaya melepasi sesi latihan bersama skuad ‘The Cats’ – Zharmien, Azizi, Uzair, Abang Azri dan Amirul Iqmal.
Selain itu Kuching turut berjaya mengikat khidmat bekas penjaga gol terbaik era 90-an yang juga bekas jurulatih penjaga gol pasukan Sabah FA, Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC iaitu Khairul Azman Mohamed.
Pada musim lalu, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu sekadar berpuas hati di kedudukan ke-13 setelah melalui musim yang sangat sukar dengan pertukaran jurulatih berbaki beberapa saingan liga.