PUTRAJAYA, 1 Mac: Sektor tenaga dijangka akan menawarkan 1,000 peluang pekerjaan baharu yang akan memanfaatkan golongan Bumiputera, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu berkata, ini berikutan kementeriannya sedang menggubal Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga yang bertujuan mengawal selia kecekapan dan konservasi tenaga dalam sektor-sektor industri dan komersial.
“Penguatkuasaan akta berkenaan akan menggalakkan pendaftaran lebih banyak institusi latihan bagi melatih Pengurus Tenaga Berdaftar dan Juruaudit Tenaga Berdaftar.
“Di samping itu, sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (2021 – 2025), kerajaan melaksanakan Energy Audit Conditional Grant atau EACG yang mana pemilik bangunan yang layak menerima geran bersyarat ini menjalankan audit tenaga melalui kerjasama dengan Syarikat Perkhidmatan Tenaga – Energy Services Company (ESCO) bagi mengenal pasti potensi penjimatan tenaga elektrik di premis dan pepasangan mereka.
“Mana-mana syarikat ESCO yang berdaftar dengan ST boleh memohon geran di bawah program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Sementara itu Fadillah berkata bagi meneruskan usaha kerajaan untuk mencapai sasaran Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan, PETRA dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga dan pihak-pihak berkepentingan sedang membangunkan Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2.0, 2026-2035 atau NEEAP 2.0.
“Melalui pelaksanaan NEEAP 2.0 kelak, kerajaan menjangkakan lebih banyak peluang pekerjaan, potensi perniagaan dan pelaburan akan diwujudkan untuk manfaat rakyat dan negara,” katanya.
Berhubung KEB, Fadillah berkata, Kerajaan Perpaduan menyedari antara peluang dalam sektor baharu yang memerlukan pemahaman dan pendedahan kepada golongan Bumiputera adalah dalam bidang peralihan tenaga.
“Oleh itu, KEB diadakan sebagai platform untuk meneroka peluang-peluang baharu ini dan bertukar-tukar fikiran antara pihak-pihak yang berkepentingan bagi menjadikan ia sebagai elemen untuk memperkasakan ekonomi Bumiputera,” ujarnya. -TVS