MIRI, 1 Mac: Pertama kali menemui warga Miri, Pertandingan Robomission Battle Lego Education Spike Prime Borneo International Robot Tournament (IRT) 2024 akan diadakan dari 8 hingga 11 Mei depan di sini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkatapertandingan bertaraf antarabangsa itu akan berlangsung di Hotel Meritz di Bandaraya Miri.
“Acara menarik ini adalah yang pertama di Sarawak. Saya percaya ia dijadualkan pada 8 hingga 11 Mei 2024. Acara itu akan diadakan di Hotel Meritz di Bandaraya Miri.
“Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) juga akan datang untuk membantu mempromosikan acara ini kerana ia adalah acara bertaraf antarabangsa. Kita sangat berbangga dapat bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan dan sekolah ini sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri pada Jumaat.
Selain menarik minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik (STEM), beliau melihat program ini akan meningkatkan industri pelancongan tempatan dan antarabangsa di Sarawak.
Sebanyak 192 pasukan dari 10 buah negara lain disasar untuk menyertai pertandingan itu dengan penyertaan diterima setakat ini adalah dari Macau, Taiwan, China, Vietnam serta Malaysia.
Empat kategori dipertandingkan iaitu Robomission Elementary untuk 9 sehingga 12 tahun, Robomission Junior untuk 13 sehingga 15 tahun, Robomission Senior 16 sehingga 18 tahun dan RoboSports Double Tennis untuk 11 sehingga 18 tahun. – TVS