SIBU, 1 Mac: Projek pembinaan jalan menghubungkan Sibu Jaya dan Lanang yang dijangka siap setahun lagi akan merancakkan aktiviti ekonomi selain memudahkan perjalanan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jalan itu juga akan menghubungkan Lanang dengan Bintangor, Sarikei dan Tanjung Manis.
Masjid Al-Madinah Al-Husna di Sibu Jaya, tapak komuniti setempat – Abang Johari
“Kita (kerajaan Sarawak) pun akan membangunkan lagi infrastruktur di peringkat daerah. Mudah-mudahan rezeki kita akan bertambah,” katanya berucap semasa Majlis Perasmian Masjid Baharu Al-Madinah Al-Husna di sini, hari ini.
Menurutnya, pembangunan dari pelbagai aspek sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Sarawak agar rakyat menerima manfaat hasil pelbagai aktiviti ekonomi yang menjadi pendapatan negeri.
Pada masa yang sama, Abang Johari berkata bahawa Sarawak kini beralih ke fasa ekonomi baharu yang berasaskan teknologi dan digital.
“Sekarang ini ramai mereka dari Semenanjung datang ke negeri kita, kerana kita mencuba ekonomi baru. Kita tidak mengikut cara lama lagi yang menyumbang kepada kepanasan global.
“Sarawak, insya-Allah akan membangun dengan menggunakan bahan-bahan yang boleh diperbaharui , seperti hidrogen dan lain-lain,” katanya. – TVS