KUCHING, 1 Mac: Keputusan pengguguran dua penerjun negara, Dato Pandalela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri, dalam Program Road to Gold (RTG) bukan bermakna mereka tidak dapat menyertai acara di peringkat antarabangsa menerusi platform lain.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, RTG adalah jawatankuasa untuk menyelaras usaha Malaysia dalam meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik 2024 di bawah Kementerian Belia dan Sukan.
Menurutnya, keputusan pengguguran nama sesetengah atlet yang gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik itu seharusnya menerusi peringkat Kementerian Belia dan Sukan dan bukan RTG.
“Walaupun digugurkan daripada program Road to Gold (RTG), Pandalela dan Dhabitah masih mempunyai platform lain seperti program Podium untuk mewakili Malaysia,” katanya semasa sidang media Kejohanan Golf Remaja Antara Negeri PGABS 2024 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau mengulangi pendapatnya bahawa sudah tiba masanya pihak bertanggungjawab mencari atlet pelapis bagi menggalas tanggungjawab seperti dipikul dua atlet terjun itu.
“Jangan puluh tahun, belas tahun bergantung dengan dua tiga orang sahaja sebab itu sekarang kita mengalami masalah ketiadaan pelapis,” katanya.