MUKAH, 1 Mac: Seorang lelaki warga emas di Kampung Bruan, Matu di sini berdepan detik cemas selepas jaring yang dipasangnya di dalam longkang di hadapan rumah ‘mengena’ seekor buaya sepanjang tiga meter, malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Matu, Leftenan (PA) Jumaat Akasas berkata, pada awalnya lelaki yang berusia lingkungan 70-an berkenaan menyangka, ‘sesuatu’ yang bergerak di dalam jaring yang dipasangnya sejak beberapa hari lalu itu, seekor ikan besar.
“Bagaimanapun perasaan terujanya untuk mendapat hasil tangkapan lumayan bertukar cemas apabila mendapati isi jaring itu bukannya ikan sebaliknya seekor buaya.
“Terkejut dengan kejadian itu, dia kemudiannya bergegas memberitahu anggota keluarga sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jumaat berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 10.55 malam dan ke lokasi untuk melakukan operasi penangkapan.
Sebelum memulakan operasi katanya, pasukan operasi yang diketuai Sarjan (PA) Hamzah Mohmad melakukan persiapan peralatan sebagai langkah keselamatan.
“Kita mengambil masa beberapa minit untuk menangkap dan mengeluarkan buaya sepanjang tiga meter itu sebelum menamatkan operasi pada jam 12.20 tengah malam,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penduduk khususnya mereka yang bergantung kepada sungai sebagai sumber rezeki agar sentiasa berwaspada dan tidak mengambil mudah ancaman serangan buaya.- TVS