KUALA LUMPUR, 1 Mac: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada malam Khamis mengadakan perjumpaan dengan Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Negara (Senator) dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) sempena Persidangan Parlimen Ke-15 Penggal Ketiga.
Pada perjumpaan tersebut Ahli-ahli Parlimen dan Senator diberi taklimat oleh Peguam Besar Negeri, Datu Saferi Ali mengenai beberapa aspek cadangan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan melibatkan kewarganegaraan yang akan dibentangkan di Parlimen.

Perbincangan juga berkisar tentang pindaan kepada Akta Pekerja dan pandangan Sarawak ke atas akta tersebut yang melibatkan kedudukan Ordinan Buruh Sarawak.
Di samping itu, Premier telah memberi pencerahan kepada ahli parlimen dan senator mengenai penjanaan kuasa melalui konsep ‘cascading’ yang akan bermula di Kapit.
Antara yang hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Speaker Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perpaduan Negara, Dato Sri Aron Dagang Ago dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan.