SIBU, 1 Mac: Seramai 31 penghuni hilang tempat tinggal apabila empat rumah musnah dalam kebakaran di Lorong Bahagian 4 Selatan, Jalan Teku, hari ini.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon Sibu, Penguasa Kanan Bomba Andy Alie berkata api cepat merebak disebabkan kedudukan rumah terbabit terletak berdekatan antara satu sama lain.
Anggota bomba segera digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 2.36 petang.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan dua rumah struktur tidak kekal yang musnah 100 peratus manakala dua lagi rumah di sebelah kanan dan kiri masing-masing terbakar 60 dan 80 peratus dengan keluasan keseluruhan 64 kali 316 kaki persegi,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan sumber air dari pili bomba terdekat serta tangki air.
Bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak pada jam 2.56 petang dan operasi pemadaman selesai sepenuhnya pada jam 5.30 petang. – TVS