SIBU, 1 Mac: Seramai 143 usahawan wanita di daerah Sibu menerima bantuan RM2,000 setiap seorang di bawah Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pemberian sekali bayar itu bertujuan membantu ibu tunggal atau ketua isi rumah wanita dengan modal perniagaan bagi menjana pendapatan.
“Dengan pelaksanaan program ini penerima boleh terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dan terlibat dalam sektor ekonomi negeri,” katanya berucap semasa Majlis Perasmian Jelajah Kerjaya Wanita Sarawak Siri 1/2024 Bahagian Sibu di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, kerajaan akan terus berusaha memperkasa ekonomi wanita dengan pelbagai bantuan yang disalurkan melalui kementeriannya selaras dengan peningkatan kos sara hidup.
“Kita sedia maklum cukai jualan dan perkhidmatan (SST) naik dari enam peratus ke lapan peratus bermula hari ini akan dirasai golongan B40 khasnya. Inilah menjadi satu perkara yang perlu kita atasi,” jelasnya.
Beliau menegaskan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) amat komited terhadap pembangunan usahawan wanita muda khususnya dalam meningkatkan kesedaran terhadap perkhidmatan yang disediakan kerajaan terhadap pembangunan kerjaya wanita.
“Program ini juga akan memberi pendedahan dan maklumat mengenai peluang pekerjaan untuk wanita dalam sektor ekonomi formal dan tidak formal, serta meningkatkan penyertaan wanita dalam masyarakat,” katanya.
Sementara itu, seramai 43 orang wanita di Sibu turut menerima Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita (KIRWaS) sebanyak RM500 setiap seorang dalam majlis itu.
“Ini adalah cara bagaimana kerajaan membantu wanita yang menjadi ketua isi rumah sebab kita tahu di Sarawak ini memang ada wanita yang menjadi ketua isi rumah,” katanya.