KUALA LUMPUR, 29 Feb: Menteri Digital Gobind Singh Deo menggesa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menggunakan sepenuhnya dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) bagi mencapai pertumbuhan.
Beliau berkata Kementerian Digital mempunyai pelbagai sumber berkaitannya dan komited untuk membantu PKS.
“Menjelang akhir 2023, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah berjaya memprofilkan 122 PKS tempatan yang menerima guna penyelesaian AI, dengan 68 daripadanya adalah syarikat Status Digital Malaysia.
“Penting untuk mengetengahkan peranan penting transformasi digital dalam memastikan daya saing PKS kita merentas pasaran global,” katanya dalam ucapan perasmian beliau pada majlis makan malam sambutan Tahun Baharu Cina Persatuan PKS Malaysia, malam tadi.
Gobind berkata dalam era teknologi yang berkembang pesat ini, transformasi digital menjadi instrumen penting kepada PKS untuk menyesuaikan diri dan berkembang maju.
“Dengan memanfaatkan teknologi digital, perniagaan boleh menyelaraskan operasi mereka, meningkatkan penglibatan pelanggan dan memperoleh kelebihan daya saing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, transformasi digital juga menyediakan platform yang sangat diperlukan oleh PKS untuk menginovasi model perniagaan, produk dan perkhidmatan mereka.
“Dengan teknologi digital juga, PKS boleh memanfaatkan analitik data untuk membuat keputusan bermaklumat, memanfaatkan kecerdasan buatan untuk meningkatkan kecekapan dan menggunakan platform e-dagang untuk menjangkau pasaran yang lebih luas.
“Selain itu, transformasi digital juga boleh membantu PKS menyediakan pengalaman lebih diperibadikan kepada pelanggan mereka, meningkat kesetiaan pelanggan dan memacu pertumbuhan perniagaan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, PKS perlu sedar bahawa perjalanan ke arah transformasi digital memerlukan perancangan strategik yang holistik dan berterusan.
“PKS mesti terbuka kepada perubahan, melabur dalam alatan digital yang betul dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja mereka untuk memanfaatkan sepenuhnya manfaat transformasi digital,” katanya. – TVS