MUKAH, 29 Feb: Penduduk gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki yang terdampar di Pantai Kampung Jebungan di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata, mayat tanpa sebarang identiti itu ditemukan orang awam dalam keadaan terlentang kira-kira jam 2 petang tadi sebelum menghubungi polis.
Menurutnya berdasarkan pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati tidak terdapat kecederaan atau unsur jenayah.
“Mayat itu berpakaian warna kelabu, berseluar pendek (boxer) dan mengguna ‘inner’ di lengan serta sarung tangan.
“Pemeriksaan tubuh badan si mati dan sekitar mayat tidak menjumpai sebarang petunjuk ke atas identitinya, keadaan mayat juga tidak sempurna,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau mendedahkan mayat berkenaan kemudiannya dibawa ke Rumah Mayat Hospital Mukah dengan kenderaan polis bagi siasatan lanjut.
Berdasarkan keadaan fizikal mayat katanya, lelaki itu dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh lima ke tujuh hari.
“Sehubungan itu, kita juga dimaklumkan tentang kejadian seorang kru kapal warga Indonesia yang terjatuh ke dalam laut di Tatau.
“Balai Polis Polis Tatau telah dihubungi dan mengesahkan gambar mayat adalah sepadan dengan kes orang orang hilang pada 25 Februari lalu. Kes ini masih dalam siasatan,” katanya. – TVS