KUALA LUMPUR, 29 Feb: Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menghina Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Kata beliau, ini bagi memastikan perbuatan berkenaan dapat dibendung dan tidak berterusan menjadi ‘barah’ dalam negara majmuk seperti Malaysia.
Hina Premier Sarawak: Setiausaha Politik mahu tindakan diambil terhadap Bozz Jebat
“Ada pepatah Melayu menyebut, cubit paha kanan, paha kiri juga akan terasa.
“Sebagai Ahli Parlimen dari Sarawak, saya juga berasa terhina,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Richard Riot berkata, beliau berterima kasih satu kumpulan telah membuat laporan di Balai Polis Satok hari ini.
Hari ini, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, John Nyigor membuat laporan polis terhadap individu yang menyebar kenyataan berunsur penghinaan terhadap Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, Bozz Jebat atau Zool Amali Hussin telah melontar kata-kata kesat dan biadab terhadap Abang Johari selain memberi kritikan yang bersifat perkauman menerusi satu rakaman video baru-baru ini.
John berkata dalam video tersebut, Bozz Jebat mempertikai keputusan Abang Johari berhubung pelantikan Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Satok di Kuching.
Semalam Persatuan Warisan Anak Sarawak (WARIS) dan Persatuan Kebajikan Sahabat Pembina Insan Sarawak (Sahabat) telah membuat laporan polis di Balai Polis Gita. -TVS