KUALA LUMPUR, 29 Feb: Projek pembinaan kapal tempur persisir (LCS) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengalami kelewatan selama 86 hari.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, setakat Disember 2023, projek itu mencapai kemajuan 67.28 peratus berbanding Jadual Garis Masa Baharu yang telah ditetapkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) iaitu 68.77 peratus.
“Dalam prosiding tindakan susulan, PAC dimaklumkan bahawa isu reka bentuk masih gagal dimuktamadkan oleh MINDEF dengan pihak Naval Group Perancis,” katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau membentangkan Laporan PAC Parlimen Tindakan Susulan MINDEF Bagi Syor-Syor Laporan PAC Parlimen Berhubung Kemajuan Projek Pembangunan Kapal Peronda Generasi Kedua LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Bagi Tempoh Oktober 2022 hingga Mei 2023 dan Bagi Tempoh Jun hingga September 2023
Mas Ermieyati menambah, PAC telah mengadakan prosiding tindakan susulan pada 24 Januari 2024 bersama MINDEF dan Boustead Naval Shipyard (BNS).
Tambahnya, dengan pengambilalihan BNS oleh Ocean Sunshine Bhd milik Menteri Kewangan Diperbadankan pada 18 Ogos 2023, kontrak BNS sebelum ini milik Boustead Heavy Industries Corporation Bhd ditukar nama ke Lumut Naval Shipyard (LUNAS).
Sementara itu, beliau turut memaklumkan PAC telah memulakan prosiding berhubung Pelaksanaan Projek Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) pada 26 Febuari 2024.
“PAC akan menyambung prosiding Pelaksaan Projek MLFF dengan mengadakan tiga prosiding yang berasingan untuk isu ini pada 25 Mac 2024,” katanya. – TVS