KUALA LUMPUR, 29 Feb: Kerajaan percaya Ringgit akan kembali mengukuh tahun ini, kata Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Jelas beliau, data juga telah menunjukkan pertumbuhan ekonomi negara akan berada pada tahap lebih baik berbanding tahun lalu.
“Jadi, kita (kerajaan) pasti tidak jadi isu lebih teruk (berbanding) sekarang namun jika ada penganjakan, Bank Negara Malaysia dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedia masuk untuk kukuhkan Ringgit,” katanya di Dewan Rakyat hari ini
Amir Hamzah berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (Perikatan Nasional – Temerloh) yang bertanya sama ada kerajaan sedia terima kejatuhan Ringgit dan usaha – usaha untuk pertahankannya.
Tambah beliau, menerusi usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi, negara akan dapat mengharungi cabaran.
Berkenaan isu kebajikan rakyat, Amir Hamzah berkata, kerajaan akan meningkatkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada mereka yang terkesan.
“Tahun ini STR yang paling tinggi, kita (kerajaan) naik dan luaskan lagi (senarai) mereka yang boleh dapat sumbangan ini.
“Ini usaha kerajaan agar mereka tidak terkesan,” katanya. -TVS