KUCHING, 29 Feb: Latin American Film Festival (LAFF) akan berlangsung di Kuching buat julung kalinya pada tahun ini.
Duta Besar Cuba ke Malaysia, Florentino Batista-Gonzalez berkata festival itu sebagai langkah permulaan kerjasama dalam pertukaran projek antara Sarawak dan negara berkenaan.
“Langkah pertama sekarang adalah pada projek kebudayaan yang akan dilakukan di Kuching iaitu Latin American Film Festival (LAFF) yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Ini sekali gus dapat memberi gambaran tentang kekayaan budaya yang menjadi penghubung kita bersama,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sementara itu, Duta Besar Uruguay ke Malaysia, Valeria Csukasi yang turut serta dalam kunjungan hormat itu berkata Abang Johari berbesar hati menawarkan segala bentuk bantuan dalam menjayakan penganjuran festival tersebut.
“Perjumpaan kami hari ini membincangkan tentang bagaimana budaya menjadi langkah pertama dalam membawa masuk pelaburan, ekonomi, pembangunan dan juga peluang-peluang niaga.
“Perbincangan kami turut memastikan bahawa Amerika Latin dikenali dalam kalangan rakyat Sarawak dan begitu juga sebaliknya. Kami juga perlu lakukan banyak ‘kerja rumah’ selepas ini,” jelasnya.
Kata Csukasi lagi, kunjungan susulan juga akan dilakukan sebelum akhir tahun ini bagi menjayakan penganjuran festival itu.
“Kami harap orang ramai akan menyertai festival ini yang dijangka berlaku sekitar November atau Disember tahun ini.
“Ini sebagai usaha memahami perbezaan dan juga persamaan budaya-budaya yang ada di Sarawak serta negara-negara kami,” katanya.
Kedua-dua duta mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak mewakili Kumpulan Kedutaan Amerika Latin dan Caribbean di Malaysia (GRULAC). – TVS