SARIKEI, 29 Feb: Seorang wanita maut apabila motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 4, Jalan Repok pagi ini.
Insiden pada kira-kira 8.30 pagi itu mengakibatkan mangsa yang berusia lingkungan 30-an meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sarikei, Deputi Superitenden Polis (DSP) Benedict Faris Jimoy berkata, siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal mangsa.
“Akibat kejadian, kereta lelaki itu terbabas ke bahu jalan sebelum terbalik. Pemandunya yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Penolong Penguasa Bomba, Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.33 pagi sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi.
Setibanya pasukan bomba di lokasi katanya, pemandu kereta itu keluar dengan sendiri sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
“Manakala penunggang motosikal pula terbaring di dalam parit dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan,” katanya.
Punca sebenar kemalangan sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS