KUCHING, 29 Feb: Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, John Nyigor hari ini membuat laporan polis terhadap individu yang menyebar kenyataan berunsur penghinaan terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, Bozz Jebat atau Zool Amali Hussin telah melontar kata-kata kesat dan biadap terhadap Abang Johari selain memberi kritikan yang bersifat perkauman menerusi satu rakaman video baru-baru ini.
John berkata dalam video tersebut, Bozz Jebat mempertikai keputusan Abang Johari berhubung pelantikan Datuk Seri Tiong King Sing sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Satok di sini.
Kenyataan yang dibuat juga merendah dan mengaibkan kedudukan serta kredibiliti Abang Johari sebagai pemimpin tertinggi Bumi Kenyalang, selain berpotensi mengancam keselamatan Premier Sarawak.

“Dia buat kenyataan seolah-olah Sarawak bukan sebahagian dari Malaysia. (Dengan berkata) ini negara kami, dalam video itu. Ini mungkin menimbulkan perasaan tidak senang hati.
“Kita mahu perkara ini dihentikan kerana mungkin orang lain pula nanti mengambil tindakan yang sama (menghina) sama juga macam seorang pempengaruh (sebelum ini) yang memperkecilkan kostum Iban,” katanya.
Sambil disertai 12 Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang lain, beliau memohon polis mengambil tindakan agar pihak lain tidak mengulangi perbuatan sama.
Laporan dibuat di bawah peruntukan Akta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan. – TVS