Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak terima gelaran Pehin Sri

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 28 Feb: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Satria Bintang Sarawak (S.B.S) yang membawa gelaran Pehin Sri, hari ini.

Penganugerahan darjah tertinggi itu telah disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mewakili kerajaan negeri pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Astana Negeri Sarawak di sini.

Majlis penyampaian darjah tersebut turut disaksikan ketiga-tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, barisan menteri dan dif-dif kenamaan yang lain.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar merupakan penerima kelima darjah tersebut, selepas Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Tun Pehin Sri Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham Tun Pehin Sri Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan Pehin Sri Adenan Satem.

Untuk rekod, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan pada 26 Januari 2024 bagi menggantikan Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang telah tamat tempoh perkhidmatan pada 25 Januari 2024.

Sejurus menerima watikah berkenaan, beliau turut dianugerahkan anugerah tertinggi negara, Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SSM) yang membawa gelaran Tun.

Kerjaya cemerlang Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi telah menyaksikan beliau memegang beberapa peranan penting termasuk Presiden Dewan Negara iaitu Dewan Tertinggi Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Speaker Parlimen.

Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dilantik sebagai Presiden Dewan Negara pada 19 Jun 2023 sehingga beliau meletak jawatan pada 19 Januari 2024.

Antara jasa utama beliau adalah memainkan peranan penting dalam mengintegrasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ke dalam rundingan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dan Sabah.

Selain merupakan seorang peguam dan ahli politik yang berjaya, beliau juga seorang penulis prolifik yang telah menulis tujuh buah buku.

Beliau juga aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Bekas Polis Sarawak selaku presidennya dari 1990 hingga 2001 dan aktif dalam pergerakan Pengakap serta memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak sejak 1992. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan