MIRI, 28 Feb: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan berbincang dengan tiga agensi yang menjadi penjaga kebajikan penjawat awam sebelum dasar baharu pengambilan penjawat awam secara tetap tetapi tidak berpencen, dilaksanakan.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata pihaknya tetap bertegas dengan pendiriannya bahawa skim pencen yang ada pada masa ini adalah terbaik untuk penjawat awam.
“Kami mohon kepada kerajaan untuk memanggil tiga agensi penjaga kebajikan pekerja ini iaitu Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWAP), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) supaya mereka mampu membentangkan apakah cadangan terbaik bagi menggantikan sistem ini jika kerajaan ingin melaksanakan.
“Cuepacs kekal dengan keputusan bahawa pencen sedia ada adalah terbaik,” katanya semasa sidang media di Pejabat Pendidikan Daerah Miri, hari ini.
Menurutnya, kerajaan juga perlu menyediakan langkah-langkah komprehensif bagi menggantikan skim pencen memandangkan ia menimbulkan kebimbangan terutamanya untuk generasi akan datang selain kebimbangan terhadap sistem lantikan penjawat awam yang sering berubah.
Pada masa yang sama, Cuepacs turut memohon kerajaan untuk meningkatkan gaji lebih awal bagi memberi kelegaan kepada penjawat awam. – TVS