KUALA LUMPUR, 28 Feb: Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya sentiasa menghormati dan menghargai kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang wujud di negara ini.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, beliau kecewa apabila masih terdapat pihak tertentu yang menulis komen biadab di media sosial dengan merujuk Ngepan Iban sebagai pakaian kafir.
“(Sebenarnya kepelbagaian budaya yang dimiliki Malaysia) merupakan keunikan yang mampu membawa kemajuan sosioekonomi.
“Sikap saling menghormati wajar diterapkan bagi menoktahkan pertelagahan yang berlaku dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada TVS hari ini.
Isu berkenaan tercetus selepas penyanyi Baby Shima yang memakai persalinan itu untuk muzik video lagu baharunya, Bujang Sarawak menerima komen dari seorang pengguna media sosial yang mendakwanya memakai ‘pakaian kafir”.
Pada 21 Februari lepas, personaliti media sosial, Ryzal Duriankimchi mengaku bersalah di Mahkamah Miri selepas didakwa mempersendakan pakaian tradisi kaum Iban itu pada 2021.
Ryzal diarahkan membayar denda RM10,000.
Sementara itu, Roy Angau mahu setiap lapisan masyarakat supaya menghayati titah Yang di-Pertuan Agung Sultan Ibrahim supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif yang melibatkan Raja, kaum dan agama.
“Seperti seruan kerajaan selama ini, kita perlu elakkan amalan menfitnah dan menyentuh perkara 3R serta patuh pada undang-undang,” tambahnya. -TVS