KUALA LUMPUR, 28 Feb: Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersedia mengadakan perbincangan lanjut dengan Kerajaan Sarawak untuk menubuhkan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) baharu di wilayah itu.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, KSM sedang berusaha untuk menambah tiga lagi pusat berkenaan di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Sarawak adalah antara wilayah yang dialu-alukan untuk bekerjasama bagi merealisasikan hasrat ini.
“Kementerian bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan Kerajaan Sarawak berkaitan lokasi, keperluan semasa dan kerjasama memandang pembinaan melibatkan kos yang sangat besar,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Steven Sim berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Richard Riot Jaem (Gabungan Parti Sarawak – Serian) yang ingin tahu sama ada KSM bercadang untuk menubuhkan dan membina pusat berkenaan di Sarawak bagi memudahkan pesakit yang perlu menjalani rawatan pemulihan.
Sementara itu, Steven Sim memaklumkan, sebanyak 18 kes rawatan Pusat Rehabilitasi PERKESO telah dirujuk ke Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi tempoh Ogos 2022 sehingga Januari 2024.
“Daripada jumlah tersebut, sembilan telah kembali bekerja, lapan selesai jalani rawatan rehabilitasi dan seorang lagi masih menjalani rawatan pemulihan,” tambahnya.
Beliau turut menjelaskan perkhidmatan rehabilitasi di Hospital Pengajar UNIMAS itu adalah hasil kerjasama PERKESO dengan UNIMAS menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada Ogos 2022.
“Antara kemudahan yang disediakan termasuk konsultasi oleh pakar rehabilitasi, fisioterapi, terapi pekerjaan, rehabilitasi neurologi, rehabilitasi neurologi dengan terapi neuro-modulasi, penilaian pertuturan dan bahasa dan terapi pertuturan,” katanya. -TVS