KUALA LUMPUR, 28 Feb: Istilah ‘Malaysia Merdeka’ yang dilaungkan ketika menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos perlu diperbetulkan kerana ungkapan berkenaan tidak tepat.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodi berkata, ini kerana Malaysia sebagai negara berdaulat tidak pernah dijajah oleh mana – mana kuasa selepas pembentukannya pada 16 September 1963.
“Namun begitu yang menghairankan masih ada dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak dapat bezakan makna perayaan Hari Kebangsaan pada 31 ogos dengan Hari Malaysia pada 16 September dalam kerangka Malaysia,” katanya pada Usul Menjunjung Kasih di Dewan Rakyat hari ini.
Doris Sophia turut mempersoalkan apa yang berlaku kepada program serta dasar penyatuan negara.
“Adakah mata pelajaran Sejarah kita tentang pembentukan negara ini tidak tepat atau sebagainya,?” tambahnya.
Sementara itu ketika ditemubual TVS, Doris Sophia berkata, beliau sering menerima ucapan ‘Malaysia Merdeka’ pada 31 Ogos.
“Mana boleh kita sebut ‘Malaysia Merdeka’ walhal Malaysia tidak pernah dijajah
“31 Ogos merupakan Hari Kebangsaan bagi meraikan kepelbagaian kita,” katanya.
Tambah Doris Sophia, generasi muda mungkin keliru atau kurang pemahaman mengenai maksud sebenar Hari Merdeka dan Hari Malaysia.
“16 September 1963 adalah Hari Malaysia, bagi mengingati tertubuhnya sebuah negara berdaulat iaitu Malaysia.
“31 Ogos 1957 pula adalah hari kemerdekaan Tanah Melayu dari jajahan British dan bagi Sabah pula, 31 Ogos adalah Hari Sabah, sebab pada 31 Ogos 1957 mereka diberi peluang untuk mentadbir sendiri daripada British,” tambahnya.-TVS