KUALA LUMPUR, 28 Feb: Hasrat Kerajaan Sarawak untuk menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,800 per tan metrik berbanding RM1,300 ketika ini mampu meningkatkan pendapatan pesawah di wilayah berkenaan.
Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abdul Wahab berkata, inisiatif berkenaan juga dijangka akan melonjakkan pengeluaran padi di Sarawak.
Sarawak mampu tetapkan harga lantai beras sekiranya jadi pengeluar utama – Abang Johari
“Berdasarkan kajian oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, Sarawak mampu mengeluarkan beras sebanyak 400,000 tan dalam tempoh 24 bulan.
“Oleh itu saya menyambut baik inisiatif Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu meningkatkan harga lantai berkenaan.
“Apabila semakin banyak tuaian padi menerusi tuaian lima kali dalam tempoh dua tahun, maksudnya pendapatan petani akan meningkat (dengan anggaran) daripada RM5,000 ke RM6,000,” katanya kepada TVS di Parlimen hari ini.
Baru- baru ini, Abang Johari berkata, Sarawak berhasrat untuk menetapkan harga lantai beras keluarannya pada kadar RM1,800 per tan metrik berbanding RM1,300 sebelum ini.
Sementara itu Yusuf berkata, Sarawak juga tidak akan menghadapi krisis bekalan beras ekoran pengeluaran padi di sana yang dapat membantu mengawal bekalan dan harga beras.
“Sekiranya Sarawak menghasilkan 400,000 tan per matrik dalam masa dua tahun, maknanya kita tidak perlu lagi bergantung kepada padi yang diimport (malah) kita boleh menjadi pengeksport pula dan mempunyai jaminan keselamatan makanan,”katanya. -TVS