KUCHING, 28 Feb: Perkhidmatan peranti internet satelit Starlink sesuai digunakan di Sarawak, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi.
Peranti internet itu boleh digunakan di kawasan pedalaman dan kawasan yang terasing jauh dari penempatan lain, tulis beliau di Facebook.

Beliau yang kini berada di Barcelona bagi menghadiri Mobile World Congress Barcelona 2024 (MWC2024), mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan Naib Presiden Starlink@Space X Amerika Syarikat Jason Fritch dan Pengarah Global Licencing Market Activation Rebecca Hunter, semalam.
MWC Barcelona: Syarikat telco, agensi Malaysia meterai sembilan MoU pada hari pertama
Julaihi turut menyampaikan ucapan semasa sesi perkongsian dengan media mengenai usaha transformasi digital di Sarawak menerusi program anjuran Huawei.
Beliau juga berkesempatan mengadakan perbincangan serta lawatan dengan syarikat telekomunikasi Ericsson.
Delegasi kerajaan Sarawak ke MWC2024 turut disertai Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Abdullah Saidol.
MWC Barcelona: Syarikat telco, agensi Malaysia meterai sembilan MoU pada hari pertama
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) turut membuka ruang pameran Ruai Sarawak pada MWC2024. Ini merupakan antara usaha mempamerkan inisiatif Ekonomi Digital.
Pelancaran Ruai Sarawak menonjolkan komitmen kerajaan Saraak dalam memacu inovasi dan memupuk pertumbuhan dalam landskap digital.
“Ruai Sarawak berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan peluang pelaburan sejajar dengan agenda digital Sarawak,” kata Julaihi.