MIRI, 28 Feb: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon agar Kerajaan Persekutuan mengkaji pengambilan serta pelantikan penjawat awam terutama sektor keselamatan, pendidikan dan kesihatan.
Presiden CUEPACS, Dato Dr. Adnan Mat berkata, terdapat permintaan tinggi dalam keperluan tenaga kerja ketiga-tiga sektor kritikal ini.
“Walaupun kerajaan sebenarnya menetapkan kuota 1.62 juta kekosangan dalam penjawatan awam, CUEPACS tetap merasakan empat cabang utama melibatkan polis, tentera, guru dan juga kesihatan ini, tidak semestinya ditetapkan pada nisbah ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri hari ini.
Tambah Adnan lagi, pelantikan pegawai awam perlu dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak menjejaskan sektor tersebut yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan.
Malah, katanya lagi, meskipun ketiga-tiga segmen keselamatan, pendidikan serta kesihatan itu penting, pengambilan serta pelantikan itu perlu mengambil kira keperluan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat secara cekap, meluas dan berkesan. – TVS