Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee.

Parlimen: Jurang pembangunan Sarawak, Sabah dengan Semenanjung Malaysia masih ketara

ByConnie Grace

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Jurang pembangunan Sarawak dan Sabah dengan Semenanjung Malaysia masih ketara walaupun kedua-dua wilayah berkenaan merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, ini menyebabkan kedua – dua wilayah di Borneo itu perlu ‘mengejar’ Semenanjung Malaysia dalam aspek pembangunan.

Sehubungan itu, Rodiyah menyeru Kerajaan Persekutuan supaya mendalami isu-isu yang dihadapi bagi memastikan usaha untuk membangunkan Sabah dan Sarawak mencapai sasaran.

“Walaupun Sarawak dan Sabah menerima dana untuk membaiki sekolah daif, masalah kekurangan akses bagi sekolah khususnya di pedalaman masih dirasai.

“Kemudahan di sekolah masih jauh ketinggalan berbanding di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Rodiyah berkata demikian menerusi Ucapan Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong Sempena Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di sini hari ini.

Dalam aspek pembangunan pula, Rodiyah berkata, beliau bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa rakyat Sarawak selayaknya menikmati hasil limpahan kekayaan ekonomi dan pembangunan yang saksama seperti warga Semenanjung Malaysia.

“Begitu juga rakyat Sabah. Jurang hubungan antara tiga wilayah iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak juga harus kita rapatkan supaya semangat sebagai warga Malaysia dapat diterjemahkan,” ujarnya.

Sementara itu Rodiyah berkata, Perdana Menteri turut mengakui kebanyakan sekolah daif di Sarawak berada pada kategori tujuh yang bermakna ia perlu dirobohkan sebelum dibina baharu kerana bangunan tidak selamat.

Selain itu kata beliau, isu kekurangan guru di Sarawak juga terus berlarutan sejak sekian lama.

“Setakat November 2023, seramai 3,076 guru diperlukan bagi mengisi kekosongan di sekolah menengah dan rendah seluruh Sarawak,” tambahnya.

Dalam pada itu, Rodiyah menjunjung kasih di atas titah Sultan Ibrahim semalam yang sarat dengan nasihat serta peringatan demi kemaslahatan rakyat dan negara.

“Baginda bertitah supaya semua pihak menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk serta mahu semua wakil rakyat menumpukan kepada usaha membantu membela nasib rakyat, bukannya menjaga kepentingan parti politik atau diri sendiri semata-mata,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan