KUCHING, 27 Feb: Kos pembangunan teknologi bagi penjanaan tenaga hijau adalah lebih rendah berbanding kaedah konvensional antaranya pembakaran arang batu untuk menjana kuasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Ratings Berhad (MARC), Rajan Paramesran berkata pembiayaan projek teknologi solar misalnya menurun dengan ketara saban tahun dengan pembangunan teknologi.
“Kita melihat dengan pembangunan teknologi (dari masa ke masa), kos pembangunan (projek tenaga hijau) hidrogen dan solar akan jatuh.
“Ini menjadikannya satu alternatif yang lebih kukuh berbanding cara lama,” katanya ketika ditemui TVS semasa Persidangan Peralihan Tenaga Borneo (BETC) 2024 di sini, hari ini.
Tambahnya, kos yang akan ditanggung ekoran kesan terhadap alam sekitar juga adalah lebih rendah dengan sumber alternatif.
Rajan berpendapat ia adalah antara faktor Sarawak memilih untuk mengorak langkah dalam mencapai landskap tenaga hijau.
“Sarawak dikurniakan dengan sumber-sumber asli yang boleh dimanfaatkan untuk mempercepat peralihan kepada landskap hijau dan menjana pertumbuhan ekonomi negeri yang kukuh.
“Saya rasa mereka juga melaksanakan perkara yang betul dari sudut kawal selia dan dasar sokongan,” katanya. – TVS