KUCHING, 27 Feb: Dasar yang telus amat mustahak bagi meningkatkan keyakinan pelabur untuk menanam modal dalam industri tenaga mampan negeri, kata Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sarawak Timothy Ong.
Menurutnya, dalam aspek itu, Kerajaan Sarawak berjaya mewujudkan dasar yang telus, terutama dari segi proses dan memberi panduan kepada pelabur dalam pelbagai projek.
“Pelabur akan tahu jika anda bersikap tidak telus dan kredibiliti keseluruhan projek itu terjejas,” katanya ditemui TVS semasa Persidangan Peralihan Tenaga Borneo (BETC) 2024 di sini, hari ini.
Timothy menambah, pendekatan yang proaktif juga perlu diambil oleh Sarawak dan melibatkan diri secara langsung dalam projek itu.
Sementara itu beliau berkata bagi menyokong hasrat kerajaan membangunkan sektor tenaga mampan, lebih banyak pelaburan diperlukan terutama untuk infrastruktur tenaga boleh diperbaharui.
“Ini bermakna anda perlu menjana lebih banyak kuasa secara mampan kemudian anda boleh terus melakukan semua perkara yang anda mahu lakukan.
“Ia boleh menawarkan lebih banyak pelaburan dalam bidang tenaga boleh baharu supaya bukan sahaja kita boleh berdikari tetapi juga menyokong cita-cita pengeksport tenaga,” katanya. – TVS