KUALA LUMPUR, 25 Feb: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan mesti bersikap tegas bagi membendung ketirisan dan penyelewangan dana awam.
Titah Seri Paduka, kelemahan urus tadbir di semua peringkat termasuk badan berkanun, syarikat kerajaan serta anak-anak syarikatnya perlu diperiksa.
Tambah Sultan Ibrahim, baginda juga akan meneliti perbelanjaan kerajaan bagi memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang diperlukan sahaja.
Sultan Ibrahim berangkat rasmikan Istiadat Pembukaan Parlimen
“Saya (beta) berharap semasa pemerintahan saya, kerajaan akan berjaya memperolehi lebihan fiskal setiap tahun,” titah baginda.
Sultan Ibrahim menyentuh kepentingan perbelanjaan berhemah menerusi titah sulung baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, di sini hari ini.
Turut berangkat tiba, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Sementara itu, baginda berdukacita apabila dimaklumkan kerajaan hari ini sedang menanggung beban hutang yang semakin besar.
Titah baginda, ini disebabkan sejak 1998 kerajaan sentiasa berada dalam kedudukan defisit fiskal.
Sultan Ibrahim berangkat rasmikan Istiadat Pembukaan Parlimen
“Adakah beban hutang ini yang akan kita tinggalkan untuk ditanggung oleh anak cucu kita nanti. Jawapan ada pada anda semua,” tegas baginda.
Sementara itu, Sultan Ibrahim turut berkongsi kedudukan ekonomi negara yang menurut baginda, pada tahun lepas telah berkembang sebanyak 3.7 peratus dan kekal mampan walaupun pertumbuhan global berada pada tahap sederhana.
“Kadar pengangguran negara berada pada tahap 3.3 peratus dan kadar inflasi sebanyak 2.5 peratus,” tambah baginda.
Menurut baginda, jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 yang telah mencipta lebih 127,000 peluang pekerjaan.
“Bagi perdagangan antarabangsa pula, eksport negara telah mencatatkan nilai sebanyak RM1.426 trilion pada tahun lepas,” titah baginda. -TVS