KUCHING, 26 Feb: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk menubuhkan sebuah kampus universiti cawangan terkemuka dari China dalam usaha untuk terus meyediakan pendidikan berkualiti di negeri ini khususnya kepada generasi muda.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan kampus berkenaan merupakan pengiktirafan penting kepada sektor pendidikan dalam meningkatkan kualiti pendidikan pelajar pada tahap lebih tinggi.
“Menyentuh berkenaan pendidikan, saya bersetuju sekiranya kita menubuhkan kampus cawangan daripada universiti terkemuka dari China, kita sedang merisik Universiti Fudan.
“Sekarang ia masih dalam peringkat rundingan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Han akan berunding dengan pihak pengurusan Universiti Fudan sekiranya mereka bersetuju untuk menubuhkan kampus cawangan di sini. Universiti Fudan berada dalam senarai lima tangga teratas universiti terbaik di China,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.
Katanya, ia sebagai inisiatif untuk menyokong dasar kerajaan negeri dalam menyediakan pendidikan percuma kepada seluruh pelajar Sarawak di universiti milik kerajaan mulai 2026.
“Kita mahukan lebih ramai anak-anak Sarawak melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tertinggi di kampus Cawangan Fudan. Kebetulan pihak Konsul Jeneral China berada di sini malam ini, saya harap Kerajaan Malaysia-China dapat merancang untuk menubuhkan kampus Cawangan Universiti Fudan,” ujarnya.
Pada majlis itu Abang Johari turut mengumumkan peruntukan geran tanah seluas lima ekar dan RM15 juta untuk pembinaan bangunan baharu Sekolah Menengah Chung Hua No.4 Kuching serta peruntukan RM5 juta dan tanah seluas tiga ekar kepada Lembaga Amanah Amal Cina Sarawak untuk melaksanakan lebih banyak kerja-kerja kebajikan.
Terdahulu, Presiden Persekutuan Persatuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian, Datuk Richard Wee menyaran kerajaan negeri untuk menubuhkan kampus cawangan Universiti Fudan, Shanghai di sini memandangkan Sarawak kini mempunyai dua kampus cawangan dari Australia iaitu Universiti Curtin dan Swinburne.
Richard turut menyatakan sokongan persatuan terhadap usaha kerajaan negeri dalam menawarkan pendidikan percuma kepada pelajar Sarawak terpilih di institusi milik kerajaan. -TVS