KOTA SAMARAHAN, 25 Feb: Pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan sekurang-kurang setahun sekali bagi membolehkan individu mengetahui tahap kesihatan masing-masing, kata Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
Beliau berkata, selain melakukan pemeriksaan mulut masyarakat juga perlu memastikan tahap kesihatan satu badan sentiasa diperiksa.
Menurutnya, ibarat kenderaan yang memerlukan pemeriksaan berkala, tubuh badan manusia yang mempunyai banyak bahagian turut memerlukan pemeriksaan yang kerap agar sentiasa berada dalam tahap yang terbaik.
“Bukan hanya periksa mulut buatkan sebagai satu rutin untuk periksa keseluruhan badan kita termasuk mulut supaya kita sihat satu badan.
“Sama seperti kita hantar servis kereta pun kita tak hanya periksaan bahagian tertentu sahaja kerana sama seperti keadaan badan kita yang banyak bahagian yang dapat dijaga dengan baik,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Bulan Kesedaran Kanser Mulut Peringkat Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibaca Pengarah Kanan Kesihatan Pergigian KKM, Dr Noormi Othman yang mewakilinya di majlis itu.
Katanya, rutin melakukan pemeriksaan kesihatan perlu diamalkan dan bukan menunggu tubuh badan mengalami rasa sakit atau rasa kurang menyenangkan.
Menyentuh mengenai Program Bulan Kesedaran Kanser Mulut katanya, ia berupaya membantu meningkatkan kesedaran orang ramai untuk melakukan pengesanan awal penyakit tersebut.
“Program tahunan ini penting agar dapat meningkat keprihatinan terhadap kondisi masyarakat dengan melakukan pengukuhan penjagaan kendiri dan permerkasaan di dalam komuniti.
“Tema “Jom Periksa Mulut Sendiri” bertepatan bagi menggalakkan lagi orang ramai agar tabiat dalam membuat pengesanan awal kanser mulut dapat diamalkan seterusnya disebatikan dalam diri masyarakat,” ujarnya. -TVS