KULIM, 25 Feb: Seorang pemandu lori ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah selepas ditetak dua lelaki menggunakan senjata tajam di sebuah kedai kopi di Taman Damai, Padang Serai di sini hari ini.
Beberapa keping gambar berhubung insiden yang berlaku kira-kira 1.20 petang itu tular di media sosial.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan (DSP) Safuan Md Noor berkata, pihaknya mengesahkan gambar tersebut yang memaparkan kejadian yang menimpa mangsa lelaki berusia 27 tahun.
“Dalam kejadian itu, si mati diserang dua lelaki yang bersenjatakan parang dan sabit.
“Mangsa dikejar oleh suspek dari luar kedai kopi itu sebelum ditetak semasa dia lari ke dalam kedai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, mangsa yang berlumuran darah kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemeriksaan mendapati dia mengalami luka parah pada tangan, dada, belakang badan dan muka.
“Pihak juga polis sedang giat mengesan suspek yang terbabit,” katanya lagi.
Sementara itu, Safuan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk menghubungi Asisten Superintendan (ASP) Azmirul Abd Aziz di talian 019-444 6521 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – TVS