KUCHING, 25 Feb: Mayat wanita berusia 35 tahun ditemukan terapung di Sungai Sekama, Jalan Datuk Abang Abdul Rahim di sini, petang semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 4.35 petang dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, terdapat satu mayat wanita berpakaian lengkap sedang terapung di sungai tersebut.
“Pihak bomba menurunkan tangga serta membuat ikatan tali untuk membawa naik mayat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mayat berkenaan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – TVS