SIBU, 25 Feb: Sibu dikenal pasti sebagai salah satu kawasan panas bagi kes penipuan dalam talian, kata Datuk Dr Annuar Rapaee.
Sehubungan itu beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak mahu lebih banyak program kesedaran dan pendidikan berkaitan penipuan dalam talian harus diadakan di sini.
Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka berkata, ini penting agar masyarakat lebih cakna mengenai kegiatan ‘scammer’ dan mengelakkan mereka menjadi mangsa.
“Semalam saya diberikan taklimat mengenai kes penipuan dalam talian ini oleh Ketua Polis Daerah Sibu.
“Ramai yang menjadi mangsa, saya tidak tahu apa puncanya namun saya tak fikir orang Sibu tidak pintar sehingga mudah ditipu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Kesedaran Penipuan Tawaran Pekerjaan (Job Scam) anjuran Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Sibu dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dan Jabatan Imigresen Malaysia Sibu di Universiti Teknlogi Sarawak (UTS) di sini hari ini.
Sementara itu, Annuar tidak menolak kemungkinan faktor kurang pengetahuan ketika berhadapan dengan situasi tertentu sehingga mudah terpedaya dengan tawaran-tawaran tertentu.
Justeru beliau mengingatkan orang ramai agar jangan mudah percaya kerana tiada urusan rasmi dilakukan melalui panggilan telefon.
“Disebabkan tiada pengetahuan mendalam mengenai cara-cara menghadapi scam, hampir setiap hari masyarakat di Sibu menjadi mangsa dan ia sesuatu yang amat mengejutkan,” tambahnya.-TVS