MIRI, 24 Feb: Sebanyak 50 kes demam denggi direkodkan di Bahagian Miri setakat bulan Februari tahun ini, kata Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin berkata, masyarakat di kawasan perumahan serta pihak berkuasa tempatan di Miri mesti bekerjasama dalam menangani peningkatan kes berkenaan.
Menurutnya, kedua-dua pihak perlu proaktif untuk memastikan kawasan persekitaran serta premis kediaman dan perniagaan dalam keadaan yang bersih.
“Kita perlulah bertindak dengan segera kerana kita tidak mahu kes-kes berkaitan penyakit demam denggi ini terus meningkat,” katanya ketika ditemui semasa Operasi Bersepadu Mencegah Wabak Denggi Daerah Miri (Op Cegah Denggi) di Taman Ceria di sini, hari ini.
Katanya, Op Cegah Denggi diadakan di Taman Ceria berikutan 13 kes demam denggi dikesan di kawasan tersebut, malah pihak berkuasa tempatan serta pegawai kesihatan juga harus memberi penekanan serta pemantauan berkala bagi menangani kes demam denggi.
Seramai 100 orang terlibat dalam Op Cegah Denggi yang melibatkan pelbagai agensi termasuklah Kementerian Kesihatan Malaysia Bahagian Miri, Majlis Bandaraya Miri, Pejabat Daerah Miri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Awam, Perbadanan Pembangunan Perumahan, ketua-ketua masyarakat dan kaum serta penduduk Taman Ceria. – TVS